|
SEJARAH - SABERKAS
SABERKAS (Sayang Akan Bangsa Ertinya Redza Korbankan Apa Segala)
Parti Politik Terawal Di Malaysia* Disusun oleh Rashid Abdullah.
SABERKAS ditubuhkan pada awal 1944 oleh cerdik pandai yang berpendidikan Arab, Melayu dan Inggeris untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan tanahair. Antara pelopor-pelopornya ialah Senu Abdul Rahman (Allahyarham), Mohamad Khir Johari Mohamad Jamil (Allahyarham), Ahmad Nordin dan Wan Din bin Mohamad Hashim.
Pada peringkat awal, SABERKAS, sebuah pertubuhan politik tempatan, bergerak atas landasan Syarikat Kerjasama sebagai helah untuk mengelakkan tindakan pihak Jepun dan juga sebagai satu cara untuk menarik lebih ramai orang Melayu menjadi ahli. Pada hakikatnya SABERKAS bergerak atas tiga landasan iaitu sebagai Syarikat Kerjasama, Badan Kebajikan dan Parti Politik. Ketiga-tiga aspek ini bergerak selari dan serentak.
SABERKAS Sebagai Badan Kebajikan
Dalam zaman pendudukan Jepun, SABERKAS telah memainkan peranan yang agak pentig di dalam usaha-usahanya membantu buruh-buruh paksa yang terlepas daripada membina jalan keretapi maut. Dengan usaha-usahanya itu SABERKAS telah berjaya membina dua buah rumah panjang untuk menempatkan mangsa-mangsa pelarian jalan keretapi maut. Walaupun SABERKAS sedar yang keselamatannya akan terancam namun memikirkan dari segi kemanusiaan ahli-ahli SABERKAS telah meletakkan sebelah keselamatan diri dan bekerja keras untuk menolong mangsa-mangsa pelarian itu. Di dalam keadaan yang serba sukar dan kadangkala mengancam keselamatannya itu SABERKAS telah berjaya bertindak sebagai Jabatan Kebajikan. Bertolak dari sinilah SABERKAS telah berjaya mengumpulkan tenaga pemuda Melayu Kedah untuk menjalankan kerja-kerja kebajikan kerana terdapat ramai mangsa pelarian yang mati bergelimpang di kali lima. Dengan daya usaha sendiri SABERKAS telah berusaha menguruskan mayat-mayat tersebut.
SABERKAS sedar yang sesuatu bangsa itu tidak akan maju jika terdapat kadar buta huruf terlalu tinggi di dalam sesebuah negara. Menyedari hakikat inilah SABERKAS telah berusaha sedaya upaya untuk membenteras penyakit buta huruf di kalangan masyarakat Melayu. Banyak sekolah rakyat telah didirikan di kawasan-kawasan pendalaman atau tempat-tempat yang belum ada lagi sekolah seperti mendirikan kelas-kelas dewasa. SABERKAS mendesak Kerajaan supaya mengadakan banyak lagi sekolah untuk orang-orang Melayu. Berhubung dengan soal itu lagi, SABERKAS telah menuntut agar Kerajaan tidak mengamalkan diskriminasi untuk memberi pelajaran kepada kanak-kanak perempuan.
Selari dengan tuntutan di atas SABERKAS telah menubuhkan Kelas Bimbingan dan sebuah Sekolah SABERKAS. Dengan berkat usaha SABERKAS itu ada juga pelajar-pelajar yang mengikuti kelas-kelas bimbingan telah berjaya meneruskan pelajaran di seberang laut, seperti Syed Kechik (Allahyarham), ahli korperat dan bekas Pengarah Yayasan Sabah. Tidak keterlaluan jika dikatakan hasil daripada usaha-usahanya itulah menyebabkan ramai daripada kalangan pegawai kerajaan terdiri daripada anak-anak Melayu Kedah.
Berhubung dengan pelajaran, SABERKAS telah berusaha untuk membantu anak-anak Melayu biarpun yang berada di luar negeri Kedah sehingga dapat meneruskan pelajaran di luar negeri seperti pelajar-pelajar dari Wilayah Patani, Selatan Thailand. Malah Kaum Ibu SABERKAS telah Berjaya menghantar Aishah Ghani (bekas Menteri Kebajikan Msyarakat) untuk melanjutkan pelajaran di Padang Panjang, Sumatera.
Oleh kerana itulah SABERKAS telah mengumpulkan wang yang banyak untuk Derma Pelajaran Kebangsaan semoga banyak lagi pelajar-pelajar Melayu yang dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Usaha-usahanya telah dijadikan salah satu daripada dasar Kerajaan Perikatan untuk membasmikan buta huruf dan memajukan pelajar-pelajar Melalui melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti.
 Ahli
Jawatankuasa Kaum Ibu SABERKAS bergambar di hadapan Rumah Kaum Ibu SABERKAS
pada tahun 1947
Memandangkan tenaga buruh merupakan urat nadi dalam sesuatu pembangunan maka SABERKAS telah berjuang agar nasib mereka pada hari tua kelak tetap dipelihara. Oleh kerana itulah ia menerima jemputan menubuhkan MTUC. Boleh dikatakan perjuangan SABERKAS mengenai keadilan sosial kaum buruh itu adalah terlalu awal buat masanya kerana keadaan itu hanya mula difikirkan oleh kesatuan-kesatuan sekerja pada tahun enam puluhan dan akhirnya lahirlah PERKESO (Perkhidmatan Kebajikan Sosial) untuk pekerja-pekerja.
Sebagai sebuah badan kebajikan, SABERKAS telah Berjaya menjalankan aktiviti-aktivitinya di alam keadaan yang serba sukar. Perjuangan untuk meninggikan taraf ilmu pengetahuan di kalangan orang-orang Melayu adalah satu langkah yang maju ke hadapan. Biarpun kebanyakan daripada usaha-usahanya di dalam pendidikan dan pelajaran telah terhenti pada tahun 1950, namun usaha-usaha itu diteruskan pula oleh UMNO yang menjadi parti pendukung kerajaan yang memerintah.
SABERKAS Sebagai Syarikat Kerajasama
SABERKAS mengambil satu daya usaha untuk melatih orang-orang Melayu berkecimpung di dalam dunia perniagaan dengan menghidupkan semula Syarikat-Syarikat Kerjasama yang hidup segan dan mati tak mahu di seluruh Negeri Kedah. Kelahiran SABERKAS itu merupakan sebagai tempat pembiakan (breeding ground) untuk pertumbuhan Syarikat-syarikat Kerjasama yang lain di seluruh negeri Kedah kerana SABERKAS Company telah bertindak sebagai induk kepada Syarikat-Syarikat Kerjasama lain di seluruh negeri Kedah.
Dengan adanya usaha-usaha daripada SABERKAS Company telah berjaya menanamkan sedikit sebanyak semangat berdikari di kalangan peniaga-peniaga kecil. Malah kegiatan SABERKAS Company pada satu ketika telah dapat mewujudkan perpaduan di kalangan orang-orang Melayu sehingga menyebabkan peniaga-peniaga Cina menjadi bimbang. Keadaan itu dapat mencerminkan betapa kuatnya pengaruh SABERKAS Company.
 Kedai milik Kaum Ibu SABERKAS yang dikenali sebagai Wanita Timur yang diusahakan secara Koperasi.
SABERKAS yang memegang kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W. iaitu sembilan dari sepuluh pintu rezeki itu datangnya daripada perniagaan, telah memberikan bantuan dan sokongan moral kepada orang-orang Melayu untuk mengambil bahagian yang lebih aktif lagi dalam lapangan perniagaan. Oleh kerana itulah sikap orang-orang Melayu telah berubah dengan memasuki lapangan perniagaan secara kecil-kecilan seperti berniaga di pekan-pekan nat’ (pekan-pekan minggu) di seluruh negeri Kedah dan ini merupakan perintis jalan untuk orang Melayu lebih giat lagi di dalam dunia perniagaan dan perdagangan.
Kebolehan SABERKAS Company di dalam bidang perniagaan dan perdagangan telah mendapat pengiktirafan daripada Perniagaan Melayu. Kepercayaan daripada kerajaan itu telah menunjukkan kesanggupan SABERKAS Company untuk mengendalikan selok-belok perniagaan.
Usaha-usaha SABERKAS itu telah berjaya melatih orang-orang Melayu untuk menjalankan perniagaan secara koperatif. Dengan itu SABERKAS telah berjaya jika di bandingkan dengan usaha-usaha Inggeris di dalam memberi galakan kepada orang-orang Melayu untuk berkecimpung di dalam dunia perniagaan seperti dalam tahun-tahun tiga puluhan. Satu-satunya usaha SABERKAS yang dapat dibanggakan ialah Syarikat-Syarikat Kerjasama masih juga menjalankan perniagaannya walaupun SABERKAS Company telah mati.
SABERKAS Sebagai Pertubuhan Politik
Sebagai parti politik yang bergerak atas perjuangan politik Melayu telah menyebabkan SABERKAS dihormati oleh pihak lawan. Kejayaannya menumpaskan keganasan Bintang Tiga telah menunjukkan bagaimana SABERKAS dapat menyelamatkan beribu-ribu nyawa orang Melayu yang tidak berdosa daripada menjadi mangsa keganasan Bintang Tiga. Tidak keterlaluan jika dikatakan kerana dasar perjuangannya itu yang bersandarkan kepada politik orang-orang Melayu telah berjaya mematahkan perjuangan komunis di Kedah. Corak perjuangan politik SABERKAS yang tebal dengan semangat perkauman telah tidak memberi tapak kepada perjuangan komunis kerana secara kebetulan pula ahli-ahli Parti Komunis Malaya terdiri daripada orang-orang Cina. Malah peristiwa-peristiwa berdarah yang dicetuskan oleh PKM masih lagi merah di dalam ingatan orang-orang Melayu. Justeru itulah orang-orang Melayu tidak menerima ajaran komunis yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Di dalam usaha-usaha untuk membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajah, SABERKAS telah menubuhkan pergerakan SEDAR yang bersifat “military” untuk menolong Gerakan Pembebasan Patani di bawah pimpinan Haji Sulung. Bantuannya itu adalah sebagai satu usaha untuk membebaskan empat buah negeri Melayu yang dikuasai oleh Siam untuk digabungkan dengan negeri-negeri Melayu yang lain di Tanah Melayu.
 Ahli-ahli Kaum Ibu SABERKAS bergambar ramai di depan rumah Kaum Ibu SABERKAS
Kejayaan SABERKAS yang paling besar ialah usahanya menentang Malayan Union secara besar-besaran. Keupayaannya yang dapat menggembelingkan seluruh tenaga Melayu sehingga menyebabkan Datuk Onn sendiri faham dengan semangat orang-orang Melayu di Kedah. Apa lagi dengan kedua-dua wakil British itu yang berasa gentar melihat di sepanjang jalan orang-orang Melayu menyambutnya dengan tunjuk perasaan membantah Malayan Union.
Sebagai ahli yang bergabung dengan UMNO pula, SABERKAS merupakan ahli yng aktif dan sensitif. Banyak daripada cadangan yang merugikan orang Melayu telah ditentang habis-habisan seperti Perlembagaan Negeri Kedah dan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Akibat daripada tindakannya itu telah menyebabkan tarikh perasmian Persekutuan Tanah Melayu ditunda dari 1-1-1948 kepada 1-2-1948.
Walaupun demikian, SABERKAS telah juga cuba mengawal UMNO dari berpecah dan seterusnya menghadapi kehancuran. Misalnya berhubung dengan bendera UMNO, ia tidak menyokong PKM kerana hendak memelihara corak kebangsaan Melayu Tanah Melayu ini. Apabila Datuk Onn meminta pintu UMNO dibuka untuk bangsa asing telah menyebabkan berlakunya keretakan di dalam UMNO. Untuk menyelamatkan keadaan itu, SABERKAS telah berjaya mencalonkan Tunku Abdul Rahman untuk memegang jawatan Yang Di Pertua dan bekerja keras pula untuk menentang IMP yang dipimpin oleh Datuk Onn
Betapa nasionalisnya SABERKAS dapat dilihat daripada dasar perjuangannya itu dengan menuntut supaya identiti kebangsaan Melayu hendaklah dipelihara melalui:-
1. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
2. Memelihara dan mengembangkan agama Islam.
3. Menubuhkan satu institut kebudayaan untuk mengwujudkan kebudayaan nasional.
Malah ketiga-tiga perkara di atas itu telah menjadi sebahagian pula daripada Perlembagaan Malaysia.
Di dalam hubungan politik antarabangsa SABERKAS mempunyai pandangan yang jauh ke depan. Di dalam tahun 1946 lagi ia telah menyuarakan tentang kerjasama serantau di kalangan Negara-negara Gugusan Pulau-pulau Melayu. Kelahiran ASEAN itu sendiri adalah merupakan satu kenyataan yang selari dengan perjuangan SABERKAS.
Dalam dasar perjuangan itu, SABERKAS telah menuntut untuk memiliknegara kuasa perlombongan dan pengangkutan. Walaupun keadaan ini tidak wujud seperti yang diharap-harapkan tetapi jika dihalusi sebahagian daripada perjuangannya itu telah tercapai. Misalnya kewujudan badan-badan kerajaan dan separuh kerajaan menguasai perkara-perkara itu seperti Jabatan Kerja Air, Lembaga Letrik Negara, Keretapi Tanah Melayu, Pernas dan Petronas. Jadi agak jelas yang sebahagian besar daripada dasar perjuangannya itu telah pun tercapai.
Apa yang dapat diketengahkan tentang dasar ideologinya ialah SABERKAS pada peringkat awal telah mendahului parti-parti lain kerana perjuangannya yang maju ke hadapan dengan menegakkan lunas-lunas demokrasi yang bercorak sosialisme. Oleh kerana itu, Ishak Haji Mohamad dan Ahmad Boestamam telah mengangkat topi kepada SABERKAS mengenai dasar perjuangannya itu.
Kesimpulan
Pergerakan dan perjuangan SABERKAS begitu hebat sekali dalam tahun-tahun 1944-1948. Walaupun SABERKAS hanya merupakan sebuah organisasi tempatan namun daripada penglibatannya dalam politik telah melampaui batas-batas daerah. Tegasnya lebih bercorak kebangsaan dari kegiatannya dan malah SABERKAS adalah tidak kurang gagahnya seperti PKMM atau pun UMNO.
Selepas dari tarikh itu, SABERKAS menjadi malap di dalam perjuangannya kerana ia menghadapi ketandusan pemimpin-pemimpin yang dapat menjadi sebagai ”unifying factor” untuk membina satu tapak yang teguh bagi SABERKAS bergerak terus dalam arena politik. Memandangkan kepada realiti itulah yang menyebabkan pemimpin-pemimpin SABERKAS telah mengambil keputusan untuk menyerap masuk ke dalam UMNO sekiranya ia tidak mahu hilang terus dalam gelanggang politik. Walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa SABERKAS mati tidak berkubur tetapi sejak dari tahun 1952 ia telah berusaha untuk menguasai teraju pentadbiran UMNO. Buat itulah pada tahun 1954 ia dapat menjelma semula tetapi dalam bentuk yang berlainan dan kali ini kegiatannya di dalam arena politik tanahair ialah dengan memakai wajah UMNO.
Biar apa pun tentang SABERKAS namun ia adalah parti politik yang radikal dari tahun 1945-1948, kerana dengan taktik dan pegangannya itu ia dapat hidup dan memperjuangkan dasar-dasarnya melalui UMNO. Walaupun ia gagal hidup dengan dengan tiket SABERKAS namun keupayaannya untuk memperkuatkan perpaduan UMNO tetap tercatat di dalam lembaran sejarah UMNO, sebagai regu politik yang mahu sehidup semati dengan UMNO.
 Ahli-Ahli Jawatankuasa SABERKAS bergambar di depan restoran milik SABERKAS. (Gambar diambil pada tahun 1947)
SUSUNAN AHLI JAWATANKUASA - SABERKAS UNTUK TAHUN 1946/47
Yang Di Pertua :
Mohd Khir bin Haji Awang Jaafar
Naib Yang Di Pertua :
Syed Abdul Hamid Al-Jafri Wan Din bin Mohd. Hashim
Setiausaha Agung :
Senu bin Abdul Rahman
Setiausaha Agung Bersekutu :
Ahmad Nordin bin Mohd. Zain
Jabatan Penerangan :
Syed Abd. Hamid Al-Jafri
Jabatan Pelajaran :
Wan Daud bin Wan Hashim Wan Din bin Mohd. Hashim
Jabatan Siasah :
Wan Ahmad bin Wan Din Wan Din bin Mohd. Hashim
Jabatan Iktisas dan Kewangan :
Haji Ahmad Prai Din bin Hanafi
Jabatan “SEDAR” Pemuda :
Ahmad bin Mahmud Azahari Taib
Jabatan Kaum Ibu :
Cik Balkis bt. Haji Abdullah Cik Rubiah bt. Othman
Jabatan Sosial dan Pergaulan :
Mohd Khir Johari Ismail bin Yusuf
Jabatan Ugama :
Haji Omar bin Haji Salleh
Penyimpan Wang :
Khalid bin Haji Abdullah
Yang Tidak Berjawatan :
Ismail bin Abdul Hamid Omar bin Kasa Ibrahim bin Othman Mahadi Iskandar Mashor Iskandar
|